Friday, May 25, 2012

Orang Muda, nilai dan jurang generasi

Dahulu, memang saya percaya bahawa antara satu generasi dengan generasi yang lain, di tengahnya sentiasa ada perbezaan. Tapi, itu ialah kepercayaan masa silam saya. Apabila bertemu dengan penjelasan Prof. Naquib al-Attas tentang jurang generasi, maka kepercayaan saya itu hilang, berpuput pergi dibawa oleh angin keraguan. Jurang generasi yang parah tidak pernah ada dalam Islam. Kita mempunyai teks suci al-quran, yang bebas daripada segala keraguan dan kita juga mempunyai intisari manusia, iaiau junjungan besar nabi Muhammad saw. Dua faktor itu, yang menjadi contoh dan ikutan, sentiasa menjadi jambatan sesama muslim. Dan hari ini, isu orang muda kembali hangat dan diperdebatkan. Tidaklah asing apabila, misalnya ketika kita membaca esei dan pandangan, bahawa yang mengubah dunia dalam sejarah Islam ialah orang muda. Justeru itu, dinyatakan beberapa contoh. Muhammad al-Fateh umurnya masih muda kala menakluk Kostantinopal. Asma Abu Bakar seorang srikandi muslim, masihlah muda saat dengan penuh tekad, membekalkan makanan kepada ayahda dan nabi di gua Hira. Begitu juga dengan Saidina Ali yang tidur di kasur Nabi, waktu itu bukanlah orang dewasa. Saya tentunya bersetuju dengan contoh dan hujah seprti ini. Cuma, saya kira, kita jangan hanya tegar untuk mengambil contoh bagi menghalalkan hujah kita, tanpa bersedia meneliti contoh itu, dengan sedalam mungkin, dari pelbagai sudut. Misalnya, Muhammad al-Fatih, seorang yang sentiasa menjaga tahajudnya, seorang lelaki budiman, baik tutur katanya. Baginda bukanlah jenis orang muda, yang apabila menuntut perubahan, dengan bahasa yang tentunya sungguh jauh dari budi pekerti Muhammad al-Fatih. Bagi saya, bahasa yang dipertuturkan ialah cerminan peribadi insan tersebut. Dalam linguistik, apabila golongan mentalis mahu berhujah bahawa mental itu ada, minda itu ada, maka mereka bermula dengan hujah bahawa kata-kata itu boleh dijadikan bukti yang logik akan keberadaan mental. Untuk melihat dan menilai mental atau psiko manusia, maka kata-kata adalah produk akal yang boleh dijadikan sumber utama. Maka, begitu juga, bagi saya kata-kata kita memperlihat wajah dalaman kita. Sebab itu, misalnya apabila kita bercakap tentang perubahan, khususnya tentang politik di negara kita, memang orang muda memainkan peranan yang penting. Sejarah telah menunjukkan bahawa orang muda sebagai agen perubah adalah benar, tetapi sejarah tidak tamat setakat itu, kerana orang muda yang mengubah dunia itu, bukanlah sembarang orang - tetapi manusia terpilih yang sudah mampu mengawal diri mereka, seperti yang terpancar dalam segala tindakan dan tutur kata. Orang muda yang mengubah dunia itu, bukanlah orang muda yang hanya tahu melaungkan slogan perubahan, tetapi justeru perubahan yang diimpikan oleh ketamadunan dan manusia, terpancar dan tercermin pada dirinya. Saya tahu, memang ada perubahan yang dilakukan oleh manusia-manusia yang idak beradab, yang menambil inspirasi daripada sesetengah intelektual dan agen perubahan yang memang mempunyai kecacatan peribadi. Tapi, kita tidak mahu Mephistoplis. Kita ada tradisi kita, sejarah kita, akidah kita - justeru, mengapa setelah berapi-api melaungkan slogan perubahan, mengangkat tokoh-tokoh hebat islam, kita hanya mengambilnya sebagai contoh untuk menghalalkan hujah kita, tapi kemudiannya, setelah menggunakan hujah itu semahunya, bertindak tapa menepati hujah-hujah itu. Saya tentunya mahukan perubahan yang lebih baik, tapi tentunya saya juga mahu dipimpim oleh anak muda yang budiman dan sudahpun mampu mengawal diri mereka.

Wednesday, May 23, 2012

Tentang syukur dan sabar

Disebuah kampung, terdapat sepasang suami isteri yang hidup bahagia. Si suami seorang yang hodoh manakala si isteri pula sangat jelita. Pada suatu hari, suami melihat isterinya yang cantik. Makin lama dia memandang isterinya, makin terasa kecantikan isterinya, sehingga akhirnya dia menyebut alhamdulillah. "Mengapa setelah memandangku begitu lama, kemudian kau mengucapkan alhamdulillah," tanya isterinya. "Aku bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan seorang yang sangat cantik." "Kalau begitu, kita akan menjadi penghuni syurga kelak," jawab isteri jelita. "Bagaimana kau tahu kita akan menjadi ahli syurga?" tanya suaminya yang hairan dengan jawapan jelitawan. "Suamiku, kau dikurniakan seorang isteri yang cantik, lalu kau bersyukur. Manakala aku diuji oleh Allah dengan seorang suami yang hodoh, lalu aku bersabar. Bukankah orang yang bersyukur dan bersabar itu akan ditempatkan di syurga?"

Thursday, May 17, 2012

Hidup ini, sebenarnya tentang pilihan

Kadang-kadang apabila ditimpa masalah, kita akan merasakan betapa hidup ini terlalu sempit. Kiri dan kanan seakan tersekat, seakan tiada ruang yang lapang lagi untuk bernafas. Tiba-tiba kita akan merasakan, kitalah satu-satunya insan di dunia ini, yang terlempar keseorangan. Kita akan merasakan hidup ini kejam, dan dunia ini menjadi sebuah rumah pasung. Dan tanpa terantai di kaki atau kepala, kita merasakan diri dipasung.

Hidup ini sebenarnya berkait soal pilihan. Sebagai manusia kita dianugerahkan oleh Allah untuk membuat pilihan. Justeru, apabila dunia yang kita pilih itu dirasakan sempit, sedarlah ada lagi dunia lain yang sedia terbuka untuk kita. Apabila orang menolak kita, melihat kita dengan sebelah mata, sedarlah ada orang lain yang bersedia menerima kita seadanya. Jadi, buatlah pilihan, kerana apabila kita tiba-tiba sedar berada di persimpangan, antara beberapa jalan yang ada, segalanya akan bermula dengan melakukan pilihan yang paling baik.

Ketika burung-burung, dalam alegori sufi Attar, diajak oleh Hud-Hud untuk terbang mencari Simuragh, sebenarnya itu ialah soal pilihan. Akhir sekali, hanya yang terpilih melakukan pilihan yang betul. Pilihan yang betul, tentu saja tidak muda, kerana seringkali, laluan yang betul membentangkan pelbagai cabaran dan dugaan. Ketika 30 ekor burung sampai di mahligai Simuragh, yang tinggal di badan mereka hanya kulit dan tulang. Tetapi, setelah mereka bersua dengan Kebenaran di dalam mahligai, mereka sedar, bahawa, pilihan yang betul, ialah soal memilih kebahagiaan. Dan pilihan dimulakan dengan mengambil keputusan untuk terbang.

Wallahua'lam

Monday, May 14, 2012

Kepercayaan

Dalam satu persahabatan, yang menghubungkan kita ialah kepercayaan. Apabila bersahabat, kita tidak sahaja duduk, minum kopi dan bertukar fikiran, tetapi juga saling bercerita. Ada sesetengah cerita untuk didengar, dan bukannya untuk disebarkan. Makin tinggi kepercayaan, maka, makin banyaklah rahsia diceritakan, makin banyaklah tanggapan peribadi diluahkan.

Tetapi satu hubungan juga boleh musnah. Jika kepercayaan menjadi faktor yang mengakrabkan, maka, apabila hilang kepercayaan, suatu persahabatan pun menjadi kering. Menjadi tidak bermakna lagi. Apabila kepercayaan hilang, bukanlah mudah untuk membinanya kembali.

Mungkin sebab itu, dalam persahabatan, kita jangan mengadu domba. Kerana, sikap adu dombalah yang akan meruntuhkan kepercayaan, dan seterusnya memusnahkan satu persahabatan. Tetapi, memang dalam dunia ini sentiasa ada, orang yang melihat tanggapan dan cerita yang bersifat peribadi, dan hanya dikongsikan untuk pengetahuan peribadi, sebagai satu barang dagangan. Dan dengan barang dagangan itulah, mereka menjadi pedagang dan membeli makin banyak kepercayaan.

Saturday, May 12, 2012

Kafe, Respon Pembaca

Ketika menerbitkan kumpulan puisi sulung saya, Kafe, saya tidak mempunyai apa-apa impian yang muluk. Konteks penulisan Kafe, yang dilatari dengan situasi soiopolitik negara yang semakin meruncing, seakan menyuburkan rasa sakit dalam hati saya. Keterlibatan orang politik, yang melihat politik tidak lebih dari satu permainan, menyebabkan banyak masalah semakin parah. Pelbagai tingkah laku itu, sedikit sebanyak menjadi benih yang menyuburkan rasa jengkel itu dalam diri saya.

Lalu, selepas diterbitkan, saya tidak tahu apa yang berlaku terhadap buku itu. Cetakan pertama tidak banyak, dan bila habis terjual, kini dicetak kembali oleh SM Zakir. Saya tidak membaca tentang resensinya. Tetapi, sebuah buku, apabila terlempar ke ruang awam, sudah pasti, sedikit sebanyak mengundang perbincangan, kecil atau besar.

Begitu juga dengan kafe. Ada yang menghantar mesej, membincangkan seadanya di dalam internet dan ada yang bertemu dan menyatakan pandangan. Justeru, peristiwa seperti inilah, membangunkan semangat saya untuk terus menulis. Perasaannya menggembirakan, dan dalam masa yang sama, menjadi bekal untuk terus berjalan dalam dunia sastera, yang sememangnya kecil dan heboh ini.

Kafe telah dicetak semula, dan kepada sesiapa yang mahu mendapatkannya, bolehlah menghubungi SM Zakir.

Thursday, May 10, 2012

Apabila Kebebasan dan Dialog Diimani

Ini zamannya orang mengimani kebebasan individu dan kerana itu, ketika keadaan semakin kacau, orang sentiasa menuntut dialog demi dialog. Dan dialog, apakah mampu menyelesaikan masalah? Apabila dialog tidak menyelesaikan masalah, maka perhimpunan demi perhimpunan, demonstrasi demi demonstrasi, dan tentunya atas nama demokrasi. Demokrasi pun menjadi satu kata yang suci. Saat demokrasi menjadi kata yang begitu suci, maka, kata-kata lain tidaklah sesuci mana.

Masa hadapan yang akan tampil, akan memperlihatkan ruang yang lebih terbuka. Malah, zaman kini pun sudah semakin bebas, berbanding zaman-zaman yang lalu, apabila teknologi terkini, memberikan peluang kepada ramai pihak untuk menyatakan pandangannya. Suatu ketika dahulu, ketika kita dikatakan hidup dalam keadaan yang tidak bebas, maka genderang pun dipalu menuntut ruang. Maka, zaman kini, kebebasan yang lebih baik wujud, tetapi orang tetap menuntut kebebasan yang lebih, biarpun ruang untuk bercakap dan berpandangan, sudah sebenarnya sangat terbuka.

Jadi, apa sebenarnya? Hal ini bagi saya memperlihatkan betapa manusia itu tidak pernah berpuas hati dengan apa yang ada. Kadang-kadang, manusia seperti kanak-kanak, setelah mendapat aiskrim, akan meminta aiskrim yang lebih lagi. Kerana, kanak-kanak tidak tahu mengapa dia perlu makan. Seperti burung, yang terbang ratusan tahun, tetapi tahu had-had sayapnya, begitu kata Prof. Naquib al-Attas. Manusia, sudah hidup ribuan tahun, tetapi sentiasa melanggar had-had, demi mengisi kelompongan dalam hatinya.

Wednesday, May 09, 2012

Apabila Sarjana Tidak Menyumbang Secara Langsung

Dunia sastera, sebenarnya bukan sahaja terpisah dan terfragmentasi dengan dunia-dunia lain, misalnya dengan dunia sains dan teknologi, malah, juga terfragmentasi dalam dunianya, yakni dunia sastera sendiri. Akibatnya, ada banyak gejala tidak sihat yang timbul. Salah satunya, belakangan ini, semacam ada satu sikap yang sinikal kepada para sarjana sastera.

Sarjana sastera, jika didasarkan pada bahan penerbitan yang terbit, sangat rapat dengan penulis sastera. Suatu ketika dahulu, hubungan sarjana sastera dengan penulis seperti sekeping syiling, dalam erti kata, kedua-duanya saling memerlukan. Tetapi, apabila riak-riak yang sudah semakin besar dan sifatnya merata, kita seharusnya bertanya mengapa para penulis kelihatannya mula menganggap kewujudan para sarjana, sebenarnya tidak banyak membantu perjalanan kreativiti mereka?

Dalam sastera dan persuratan, saya berpandangan, tunjangnya ialah karya-karya tersebut. Tetapi, karya-karya itu tidak akan lahir tanpa adanya penulis, yang menjadi sebab utama kepada lahirnya dunia sastera. Persoalannya, kewujudan entiti lain, termasuk sarjana sastera - tidak dilihat menyokong perkembangan sastera. Istilah 'menyokong' digunakan dalam konteks sebarang usaha yang berterusan, untuk memberikan kritikan, menambah baik, dialog yang kritis serta hubungan yang sihat - yang dimanifestasikan dalam kalangan sarjana, terhadap karya dan juga penulis. Akibat tiadanya aktiviti 'menyokong' ini, kelihatannya satu kekosongan ditinggalkan oleh para sarjana, apabila karya-karya yang lahir tidak diulas atau dikritik. Lalu, para penulis, mula memikirkan, apakah fungsi sarjana yang sebenarnya?

Tetapi, kehidupan di universiti pada hari ini tentunya berbeza dengan kehidupan para sarjana di universiti sebelum ini. Tulisan di surat khabar, majalah dan ruang-ruang awam yang lain, tidaklah memberikan nilai tambah kepada para sarjana. Sesetengah universiti, hanya menyuruh para pensyarahnya menulis untuk jurnal-jurnal yang tersenarai dalam ISI, dalam konteks menaikkan profail universiti. Hal tersebut tidak salah, tetapi tindakan tersebut juga menyebabkan satu kesan negatif, apabila para pensyarah tidak lagi mahu menulis dalam pojok-pojok sastera. Namun, secara keseluruhannya, saya melihat, hal tersebut tidak seharusnya dijadikan hambatan, kerana, tugas seorang sarjana atau pensyarah ini, tidak sahaja harus mengayakan khazanah seperti itu, tetapi juga perlu mengisi ruang-ruang yang ada, dalam konteks untuk menyumbang kepada masyarakat.

Zaman sekarang, kewujudan ruang tidak lagi menjadi persoalan. Seorang sarjana sudah seharusnya menulis dalam blog, seperti yang dilakukan oleh beberapa orang sarjana sama ada yang berada di universiti atau bukan. Tumpuan yang keterlaluan untuk mengejar markah prestasi tahunan, sehingga tidak mengambil tahu perkembangan dunia sastera secara keseluruhan, trend-trend terbaru dan hanya mahu membentangkan kertas kerja dalam wacana yang diadakan oleh agensi tertentu dan pihak universiti, akhirnya meninggalkan kelompongan yang besar, dan kelompongan ini, sudahnya diisi oleh tanggapan bahawa kewujudan para sarjana sastera hari ini, tidak lagi relevan kerana mereka tidak mampu menyumbang kepada pertumbuhan dunia sastera yang lebih rancak dan sihat.

Oleh sebab itu, hal ini perlu diatasi dengan segera, memandangkan, perkembangan ini memang tidak sihat.